SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH
Sekolah ini dibina selepas zaman pendudukan Jepun pada tahun 1946 sebelum merdeka pada tahun 1957. Ketika ini penduduk-penduduk kampung dan penghulu telah berusaha dengan bergotong- royong untuk membina sekolah bagi keperluan anak-anak mereka menerima pendidikan secara formal. Pada waktu itu kedudukan negari ini masih di bawah pemerintahan penjajah Inggeris.
Seorang penduduk kampung iaitu Tuan Hj. Anang bin Hj. Taib telah mewakafkan sebidang tanah di Kampung Parit Haji Dahlan, Yong Peng dengan keluasan lebih kurang
Pada awal tahun 1949 dengan bantuan kerajaan dan pihak RIDA ( Rural Institute Devevlopmen Authority) maka terbinalah sekolah rakyat ketika itu dengan nama Sekolah Melayu Seri Pasir Puteh, Yong Peng.
Nama sekolah ini telah diberikan oleh Tuan Syed Esa bin Syed Alwi yang ketika itu sebagai Pengelola Sekolah-Sekolah Melayu Negeri Johor. Nama sekolah ini diambil sempena kawasan sekolah yang berpasir. Pihak kerajaan telah menghantar beberapa orang guru untuk bertugas di sekolah ini pada 7hb. Ogos 1949 di mana Encik Mahmud bin Rejab menjadi Guru Besar yang pertama di Sekolah Melayu Seri Pasir Puteh, Yong Peng.
Kedudukan sekolah ini agak terpencil ketika itu . Ianya hanya boleh dihubungi dengan jalan sungai ke pekan terdekat iaitu Pekan Yong Peng. Jalan darat hanya boleh dilalui basikal atau berjalan kaki sahaja. Persekitarannya masih lagi dalam keadaanb hutan belukar. Jarak antara antara sekolah ini dengan Pekan Yong Peng ialah 6 kilometer.
Sejak sekolah ini dibina dalam tahun 1949 sehingga sekarang , telah berlaku beberapa perubahan dari segi struktur bangunan, nama sekolah, kepimpinan (Guru Besar) mahupun bilangan muridnya. Sekolah Melayu Seri Pasir Puteh telah berubah kepada Sekolah Umum Seri Pasir Puteh pada sekitar tahun 50an. Pada tahun 1962, nama sekolah ini ditukar sekali lagi sehinggalah sekarang iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Pasir Puteh.
Bangunan sekolah ini juga berlaku perubahan. Bangunan pertama yang dibina oleh penduduk kampung dengan bantuan RIDA pada tahun 1949. Bangunan ini telah dibaikpulih beberapa kali. Walaubagaimanapun bangunan ini tidak digunakan lagi setelah sekolah ini mendapat bangunan konkrit dua tingkat yang mengandungi sebuah bilik guru besar, pejabat, bilik guru dan 6 buah bilik darjah yang dibina oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1980. Bangunan lama sekolah ini dipinjamkan kepada Sekolah Agama Seri Pasir Puteh tetapi mulai pada 11hb.Oktober1999 bangunan ini tidak digunakan lagi kerana sudah terlalu buruk dan tidak selamat digunakan.
Sejarah awal penubuhan sekolah ini tidaklah memberangsangkan dari segi bilangan muridnya. Walau bagaimanapun bilangan muridnya bertambah setiap tahun sehingga 100 orang murid dalam tahun 60an. Bilangan muidnya terus bertambah pada tahun 70an. Adakalanya meningkat hingga 200 0rang murid. Keadaan ini tidak bertahan lama apabila berlaku penghijrahan penduduk kampung ke kawasan penempatan baru yang diusahakan oleh pihak FELDA dan RISDA. Kemerosotan bilangan murid sekolah ini amat ketara di akhir tahun 1980an dan 1990an. Pada tahun 1990 murid sekolah ini hanya 46 orang murid sahaja. Sejak tahun 1980 hingga tahun 2000 ini, bilangan muridnya tidak pernah melebihi 100 orang murid.
Walaubagaimanapun berlaku sedikit peningkatan jumlah murid dari tahun ke setahun sejak kebelakangan ini. Ini disebabkan oleh pembangunan yang berlaku di Daerah batu Pahat khususnya di kawasan Yong Peng.